Thursday, March 25, 2010

Kad kredit dikeluar cara berhemah

HANYA 48 peratus atau 2.3 juta daripada jumlah permohonan diterima institusi pengeluar kad kredit sepanjang tahun lalu, diluluskan sekali gus membuktikan pengeluaran kad kredit tidak dilakukan dengan sewenang-wenangnya. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata dalam usaha mempromosikan penggunaan pembayaran secara elektronik (e-pembayaran), Bank Negara Malaysia (BNM) menggalakkan penggunaan kad kredit untuk kaedah itu dan bukannya sebagai sumber kredit yang mudah. Sehubungan itu, beliau berkata, BNM sentiasa memantau perkembangan kad kredit di negara ini serta mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan penggunaan dan pengeluaran kad kredit adalah secara berhemat dan tidak menjurus kepada masalah keberhutangan yang berlebihan. “BNM mengeluarkan syarat minimum untuk penjualan, pemasaran dan promosi kad kredit bagi memastikan amalan pemasaran kad kredit dilakukan secara berhemat oleh pengeluar kad kredit. “Selain itu, Garis Panduan Kad Kredit dikeluarkan BNM memerlukan institusi pengeluar kad kredit membuat rujukan kepada Sistem Maklumat Pusat Rujukan Kredit (SCRIS), iaitu sistem yang mempunyai maklumat kredit peminjam yang komprehensif ketika memproses sebarang permohonan kad kredit untuk menilai kedudukan kewangan pemohon. “Melalui sistem ini, bukan semua pelanggan yang ditawarkan kad kredit layak mendapat kad kredit kerana risiko keberhutangan berlebihan pemegang kad kredit dapat dinilai dan dikawal dengan teratur. “Ketika melakukan pemeriksaan berkala ke atas pengeluar kad kredit, BNM turut memeriksa proses penilaian dan pemberian pinjaman kad kredit di institusi berkenaan bagi memastikan proses yang dijalankan adalah berhemat,” katanya yang juga Menteri Kewangan dalam jawapan bertulis kepada soalan M Manogaran (DAP-Telok Intan) dan Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu) di persidangan Dewan Rakyat, semalam. Najib berkata, sehingga akhir Januari lalu, baki tertunggak daripada pemegang kad kredit berjumlah RM27.1 bilion membabitkan RM24.7 bilion baki semasa, manakala baki tak berbayar berjumlah RM0.5 bilion. Beliau berkata, penggunaan mesin juruwang automatik (ATM) ketika ini bukan saja untuk pengeluaran wang tunai, malah diperluaskan untuk membuat pembayaran bil, pemindahan dana antara bank, pembayaran untuk permohonan saham secara elektronik dan urusniaga tambah nilai MEPS Cash, Touch n Go dan nilai pra-bayar mudah alih. Menurutnya, penggunaan mesin ATM sebagai saluran e-pembayaran meningkat sebanyak 11.6 peratus daripada 20.6 juta urus niaga pada 2007 kepada 23 juta urus niaga pada 2009. “Dalam usaha meningkatkan kaedah e-pembayaran, kerajaan menggalakkan penggunaan kad pembayaran seperti kad debit dan kad kredit berbanding pembayaran secara tunai kerana ia menjimatkan kos berikutan pengurangan pengendalian wang tunai dan peningkatan kecekapan operasi serta produktiviti.
“Orang ramai boleh menggunakan kad debit dan kad kredit untuk bayaran kaunter di beberapa agensi kerajaan seperti Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM), hospital kerajaan dan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai alternatif kepada wang tunai.
“Selain itu, kad kredit adalah instrumen pembayaran elektronik yang lebih digemari bagi pembayaran dalam talian,” katanya.